AQIDAH Al-SULTAN AL-MUJAHID AL-FAQIH SALAHUDDIN AL-AYYUBI

Alhamdulillah Puji puja dan sukurku tak henti-hentinya kepada pemilik alam semesta ini, pengatur hidup makhluk ini, pengasih dan penyayang setiap makhluknya, maha adil, maha bijaksana, maha pengampun hambanya yang kembali kepadanya. Sholawat dan Salam Allah, Malaikat dan semua makhluk, tetap tercurah tanpa henti-hentinya kepada makhluk yang paling mulia, kekasih raja alam, pemimpin manusia, Nabi muhammad SAW, beserta keluarga, para sohabat, tabi’in, tabi’u tabi’in, dan semua yang mengikuti mereka hingga Akhir alam ini.
Ilmu akidah merupakan suatu ilmu yang paling afdal untuk dipelajari dan ilmu yang paling mulia disebabkan keterkaitannya dengan semulia-mulia maklumat iaitulah maklumat yang berkaitan dengan dasar-dasar agama [Usul al-Din], hal ini berdasarkan firman Allah ta`ala:
فاعلم أنه لاّاله إلا الله
Maksudnya:
“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu [Wahai Muhammad] bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,
(Surah Muhammad: 19)
Ketika al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahihnya, daripada Abi Hurairah radiyallahu `anhu bahwa Rasululullah sallallahu `alaihi wasallam telah ditanya: “Apakah amalan yang paling afdal?”, maka baginda menjawab:
إِيـْمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ”. “أَفْضَلُ الأَعْمَالِ
Maksudnya:
“Perbuatan yang paling utama [secara mutlak] beriman kepada Allah dan Rasul-Nya”.
Al- Imam Abu al-Hasan al-Asy`ari rahimahullah (W. 324 H) pula telah berkata:
“أَوَّلُ مَا يَجِبُ عَلَى الْعَبْدِ الْعِلْمُ بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ وَدِيْنِهِ”.
Maksudnya:
“Perkara terawal yang wajib atas seseorang hamba adalah mengetahui tentang Allah dan Rasul-Nya dan agama-Nya”.
Al-Imam al-Ghazali rahimahullah (W. 505 H) juga telah berkata:
“لا تَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ”.
Maksudnya:
“Tiada sah ibadat seseorang itu melainkan setelah dia mengenal Tuhan yang berhak disembah”.
Kesemua nas tersebut sekaligus telah membuktikan bahwa ilmu akidah merupakan satu ilmu yang wajib dipelajari dan tidak boleh dikesampingkan pembelajarannya oleh umat Islam.
Kebanyakan masyarakat pada zaman kini hanya pandai menyebut dan menceritakan tentang kehebatan Sultan Salahuddin al-Ayyubi dalam membebaskan Bayt al-Maqdis daripada cengkaman tentera Salibiyyah pada kurun ke-5 hijrah , namun tidak banyak dari mereka yang menyedari bahawa kemenangan yang diperoleh tersebut antara lainnya adalah kesan daripada penyuburan benih-benih akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah di dalam hati-hati para tentera baginda yang telah bersama-sama dalam membebaskan bumi barakah tersebut.
AQIDAH AL MURSYIDAH
Ketahuilah bahawa sesungguhnya para ulama` salaf sangat mengambil berat tentang ilmu tauhid, begitu juga dengan para ulama` khalaf yang sangat memfokuskan serta menekan terhadap pemahaman dan penjelasan ilmu tauhid kepada manusia dengan menjelaskan dalil-dalilnya, sama ada naqli [al-Quran dan hadith] mahupun, dalil aqli [ijma` ulama` dan qias], sehingga ada seorang alim iaitu al-faqih al-Mutakallim Muhammad ibnu Hibatillah al-Makki telah mengarang risalah yang berbentuk nazam [syair] mengenai penjelasan ilmu tauhid, kemudian beliau menghadiahkannya kepada Sultan al-Ghazi Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah. Sultan Salahudin telah menerimanya dan mengeluarkan arahan agar ia mesti diajar kepada semua peringkat umur termasuk kepada anak-anak kecil di madrasah-madrasah mereka.
Taqiy al-Din al-Maqrizi (W. 845 H) yang merupakan salah seorang sejarawan Islam yang terkenal telah berkata di dalam kitabnya al-Mawa`eiz wa al-`Iktibar Bizikri al-Khuthathi wa al-Asar:
“لَمَّا وَلِيَ السُّلْطَانُ صَلاحُ الدِّيْنِ يُوْسُفُ بْنِ أَيُّوْبٍ.. تَقَدَّمَ الأَمْرَ إِلَى الْمُؤَذِّنِيْنَ أَنْ يُعْلِنُوْا وَقْتَ التَّسْبِيْحِ عَلَى الْمَآذِنِ بِاللَّيْلِ ، بِذِكْرِ الْعَقِيْدَةِ الَّتِيْ تُعْرَفُ بِالْمُرْشِدَةِ ، فَوَاظَبَ الْمُؤَذِّنُوْنَ عَلَى ذِكْرِهَا فِيْ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسَائِرِ جَوَامِعَ مِصْرَ إِلَى وَقْتِنَا هَذَا”.
Maksudnya:
“Ketika Sultan Salahuddin Yusuf bin Ayyub memegang tampuk pemerintahan, beliau mengeluarkan arahan kepada para muazzin (bilal/tukang azan) supaya mengumandangkan ketika sebelum masuk waktu subuh akidah yang dikenali dengan al-Mursyidah, maka para muazzin berterusan menyebutnya pada setiap malam di semua masjid-masjid di Mesir hingga ke sekarang.”
Al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti al-Syafi`e (W. 911 H) telah berkata di dalam kitabnya al-Wasa’il ila Ma`rifat al-Awa’il:
“فَلَمَّا وَلِيَ السُّلْطَانُ صَلاحُ الدِّيْنِ بْنِ أَيُّوْبٍ أَمَرَ الْمُؤَذِّنِيْنَ أَنْ يُعْلِنُوْا فِيْ وَقْتِ التَّسْبِيْحِ بِذِكْرِ الْعَقِيْدَةِ الأَشْعَرِيَّةِ، فَوَاظَبَ الْمُؤَذِّنُوْنَ عَلَى ذِكْرِهَا كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى وَقْتِنَا هَذَا”.
Maksudnya:
“Ketika Sultan Salahuddin bin Ayub memegang tampuk pemerintahan, beliau memerintahkan para muazzin agar mengumandangkan al-Aqidah al-Asy`ariyyah pada waktu tasbih , lalu para muazzin berterusan menyebutnya pada setiap malam hingga ke waktu kita ini”.
Al-`Allamah Muhammad bin `Ilan al-Siddiqi al-Syafi`e (W. 1057 H) telah berkata di dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyyah `ala al-`Azkar al-Nawawiyyah:
“لَمَّا وَلِيَ صَلاحُ الدِّيْنِ بْنِ أَيُّوْبٍ وَحَمَلَ النَّاسُ عَلَى اعْتِقَادِ مَذْهَبِ الأَشْعَرِيِّ، أَمَرَ الْمُؤَذِّنِيْنَ أَنْ يُعْلِنُوْا وَقْتَ التَّسْبِيْحِ بِذِكْرِ الْعَقِيْدَةِ الأَشْعَرِيَّةِ الَّتِيْ تُعْرَفُ بِالْمُرْشِدَةِ فَوَاظَبُوْا عَلَى ذِكْرِهَا كُلَّ لَيْلَةٍ”.
Maksudnya:
“Ketika Salahuddin bin Ayyub memerintah, umat Islam pada ketika itu berada di atas iktiqad mazhab al-Asy`ari, lalu baginda memerintahkan para muazzin (tukang azan) agar mengumandangkan pada waktu tasbih akan al-Aqidah al-Asy`ariyyah yang dikenali dengan al-Mursyidah, lalu mereka meneruskan pembacaannya pada setiap malam”.
Al-Hafiz Salahuddin al-`Alla’i (W. 761 H) telah berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Subki di dalam kitabnya Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra:
“وَهَذِهِ الْعَقِيْدَةُ الْمُرْشِدَةُ جَرَىْ قَائِلُهَا عَلَى الْمِنْهَاجِ الْقَوِيْمِ، وَالْعِقْدِ الْمُسْتَقِيْمِ وَأَصَابَ فِيْمَا نَزَّهُ بِهِ الْعَلِيُّ الْعَظِيْمَ”.
Maksudnya:
“Al-Aqidah al-Mursyidah ini; pengarangnya berada di atas jalan dan aqidah yang lurus dan beliau [pengarang] adalah benar dalam mentanzihkan (mensucikan) Allah
Kenyataan beliau ini dinukilkan oleh al-Imam Taj al-Din al-Subki dalam kitabnya “Tabaqat al-Syafi`eyyah al-Kubra” dan beliau rsetuju dengan penamaan risalah tersebut dengan “al-Aqidah al-Mursyidah”. Pada akhir kenyataanya beliau berkata:
“هَذَا آخِرُ الْعَقِيْدَةِ وَلَيْسَ فِيْهَا مَا يُنْكِرُهُ سُنِّيٌ”.
Maksudnya:
”Ini adalah kitab akidah yang terakhir, dan tidak ada seorang sunni pun yang mengingkarinya”.
Al-Imam Taj al-Din al-Subki telah berkata di dalam kitabnya Mu`eidu al Ni`am wa Mubid al-Niqam:
“عَقِيْدَةُ الأَشْعَرِيْ هِيَ مَا تَضَمَّنَتْهُ عَقِيْدَةُ أَبِيِ جَعْفَرِ الطَّحَاوِيْ وَعَقِيْدَةُ أَبِي الْقَاسِمِ الْقُشَيْرِيِّ وَالْعَقِيْدَةُ الْمُسَمَّاةُ بِالْمُرْشِدَةِ، مُشْتَرِكَاتٌ فِيْ أُصُوْلِ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ”.
Maksudnya:
“Yang terkandung dalam Aqidah al-Asy`ari adalah aqidah Abu Ja`afar al-Thahawi, aqidah Abu al-Qasim al-Qusyairi dan aqidah yang dinamakan sebagai al-Aqidah al-Mursyidah, kesemuanya adalah sama dalam [membahaskan] asas-asas pegangan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah”.
Al-Imam Muhammad bin Yusuf al-Sanusi (W. 895 H) Shohibul Aqidah Assanusiyah telah berkata meneruskan syarahnya terhadap al-Aqidah al-Mursyidah yang diberi nama al-Anwar al-Mubinah Li Ma`ani `Aqdi Aqidah al-Mursyidah:
“اِجْتَمَعَتِ الأَئِمَّةِ عَلَى صِحَّةِ هَذِهِ الْعَقِيْدَةِ وَأَنَّهَا مُرْشِدَةٌ رَشِيْدَةٌ”.
Maksudnya:
“Para alim ulama’ bersepakat di atas kesahihan aqidah ini, dan ia adalah aqidah yang benar-benar memberi petunjuk dan aqidah yang mampu memandu manusia ke jalan yang benar dan lurus”.
Sesungguhnya pegangan atau kepercayaan yang jazam (mntap) kepada Allah menjadi teras kepada Aqidah Islamiyyah. Kepercayaan ini tumbuh subur dan segar di dalam hati sanubari lalu menggerakkan akal kita untuk berfikir dan memandu tubuh badan untuk melakukan kerja ibadah berpedomankan landasan syariat yang ditetapkan oleh Allah subhanahu wata`ala. Itulah aqidah yang benar dan menjadi prinsip pegangan ke arah mencapai kesenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Seseorang yang beraqidah dengan aqidah yang sahih serta mantap tidak akan sekali-kali menyekutukan Allah ta`ala dengan menyamakan-Nya dengan sekalian makhluk-Nya. Di antara simpulan aqidah Islam yang dimaksudkan tersebut adalah meyakini bahawa Allah itu kewujudan-Nya tanpa bertempat , Mukholafatuhu lil hawadits mutlak.. Inilah aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar.
BIOGRAFI SULTAN SALAHUDDIN AL-AYYUBI (SALAHUDDIN B. NAJM AL-DIN AYYUB B. SYADHI B. MARWAN AL-KURDI)
Beliau merupakan Sultan Salahuddin Abu al-Muzhaffar Yusuf b. Najmuddin b. Ayyub seorang yang berketurunan Kurdi dan digelar sebagai al-Malik al-Nasir (Raja yang bersifat penolong). Sultan Salahuddin al-Ayyubi berasal dari sebuah keluarga berbangsa Kurdi yang mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya. Keluarga ini dinisbahkan kepada sebuah kabilah kurdi yang mempunyai keturunan dan bangsa yang mulia. Ia dikenali sebagai kabilah Rawwadiah dari suku Hayazaniah yang merupakan sebuah kabilah Kurdis yang terbesar. Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah dilahirkan di Tikrit pada tahun 532 H/ 1137 M. Tikrit adalah sebuah daerah yang berkedudukan hampir dengan Kota Baghdad, Iraq. Beliau merupakan pengasas daulah al-Ayyubiyyah di Mesir .
Sultan Salahuddin al-Ayyubi mempunyai wilayah jajahan takluk yang sangat luas, bermula dari daerah Tunis dan Barqah di daerah Barat benua Afrika, hingga ke sungai Eufrat di Timur dan dari Mousul dan Aleppo di Utara hingga ke Nubah dan Yaman di Selatan semenanjung Arab. Sumbangan terbesar beliau adalah merampas kembali Bayt al-Maqdis daripada cengkaman puak Salibiyyah menerusi peperangan Hittin yang berlaku di antara tentera Islam dan tentera Kristian yang menguasai Bayt al-Maqdis .
Ketika berlaku pemberontakan terhadap kerajaan Fatimi di Mesir pada tahun 558H pemimpinnya pada ketika itu, Syawar al-Sa`di telah meminta bantuan daripada Sultan Nuruddin al-Zinki supaya menghantar bantuan dari sudut ketenteraan untuk membantu mereka menggagalkan usaha para pemberontak tersebut . Justeru, bakat Sultan Salahuddin al-Ayyubi dalam memimpin telah terserlah ketika beliau dihantar ke Mesir oleh Sultan Nuruddin al-Zinki bersama bapa saudaranya iaitu Asaduddin Syirkuh yang pada ketika itu merupakan panglima bagi kerajaan pimpinan Sultan Nuruddin al-Zinki untuk membantu Daulah Fatimi dalam mengatasi pemberontakan yang berlaku.
Berkat kemahiran dan kehebatan dalam seni peperangan dan pertempuran, ditambah pula dengan polisi pengturan strtegi ketenteraan yang kemas dan teratur, mereka telah berjaya meletakkan Mesir di bawah pemerintahan Nuruddin al-Zinki pada tahun 564 H. Pada tahun 1187, berlakunya peperangan yang dikenali sebagai Perang Hittin. Perkataan Hittin merujuk kepada sebuah daerah yang terletak berdekatan dengan Danau Galilea, Palestin. Di situlah terjadinya perang antara tentera pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan tentera Kristian yang berada di bawah pimpinan Raja Bait al-Maqdis pada ketika itu, Guy de Lasignan. Peperangan ini akhirnya telah berjaya memahat sejarah penting dalam dunia Islam di mana kota suci Bayt al-Maqdis telah berjaya dirampas oleh umat Islam setelah 90 tahun berada di bawah cengkaman puak Kristian. Dalam peperangan tersebut, kira-kira 18,000 tentera Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya mengalahkan tentera Kristian yang pada ketika itu hanya berjumlah 15,000 dengan menggunakan taktik mengawal sumber air. Sebanyak 10,000 tentera Salib telah terkorban dan selebihnya menjadi tawanan perang. Sultan Salahuddin kemudiannya telah memberi tempoh selama 40 hari kepada para tawanan perang tersebut untuk meninggalkan Bayt al-Maqdis bersama keluarga mereka.
نَسْأَلُ اللهَ السَّلامَةَ وَنَسْأَلُ اللهَ تَعَالَى أَنْ يُلْهِمَنَا السَّهَرَ عَلَى حِفْظِ عَقِيْدَةِ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ الأَشَاعِرَةِ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةِ. ءَامِيْن

Post a Comment

0 Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *